PROFIL USAHAWAN
Nama
Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal bin Hj Abu Bakar
Tarikh lahir : 18 Mac 1949
Asal : Kampung Changkat, Pusing, Perak
Pendidikan : Bachelor’s Degree in History, Universiti Malaya
Jawatan
Pengerusi EMKAY Group
Pengerusi MK Land Holdings Berhad
Pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd.
Hobi: Muzik, berkebun dan membaca
Aspirasi Pelancongan Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal
Pengalaman lebih 30 tahun dalam mengharungi pahit manis sebagai pemaju hartanah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan. Jiwanya kental, semangatnya tinggi . Bila bercakap soal anak bangsa dan kemanusiaan beliau tangkas bersemangat meskipun pada masa tersebut kondisi kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan.
Begitulah Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal, seorang insan hebat yang ternyata tajam fikirannya dalam merencanakan wawasannya. Meskipun beliau mempunyai aset berbilion ringgit, namun sifat rendah dirinya membuatkan siapa sahaja rasa selesa tatkala berada bersamanya. Menyentuh soal penglibatannya dalam sektor pelancongan, beliau menegaskan bahawa potensi yang ada dalam bidang ini telah memberikan keyakinan kepadanya untuk melabur dalam bidang perhotelan.
Sebagai pemaju hartanah, antara strategi beliau dalam memastikan kelestarian dan kestabilan projek-projeknya adalah dengan mempelbagaikan perniagaannya khususnya dalam menyertai bidang perhotelan.
“Sebagai peniaga saya menekankan perniagaan utama mengenai harta tanah dan keduanya barulah perhotelan. Saya mengambil perhotelan ini sebagai langkah to diversify kerana saya melihat potensi yang ada dalam bidang perhotelan ini,” katanya.
Menurutnya, berdasarnya perkembangan putaran perniagaan dunia masa kini, negara-negara seperti China, India, Korea, Jepun dan juga Australia telah menunjukkan kemajuan sekali gus membolehkan masyarakatnya mendapat pendapatan yang tinggi.
“Dengan peningkatan pendapatan ini , kita menjangkakan mereka mempunyai lebihan pendapatan untuk melancong. Selain itu daripada itu pelancongan di negara kita mempunyai potensi yang besar kerana berbagai-bagai pilihan yang boleh dibuat oleh pelancong luar negara di negara ini. Kita ada laut, kita ada hutan belantara, kita ada tasik, bermacam-macam,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal.
Beliau turut berkeyakinan pada tahun 2020 negara Malaysia akan mencapai tahap negara maju dengan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dijangkakan menjangkau sebanyak USD15,000.
“ Masyarakat Malaysia juga mempunyai lebihan pendapatan untuk melancong. Potensi untuk produk-produk di negara kita juga banyak. Negara kita aman dan rakyat kita fasih dalam bahasa Inggeris. Ini semua menjadi faktor tambahan untuk pelancong datang ke negara kita,” tambahnya lagi.
Usaha Membantu Anak Bangsa
Bagi memastikan penglibatannya dalam sektor pelancongan membuahkan hasil yang membanggakan, menerusi syarikat MK Land Holdings Berhad beliau telah mewujudkan lima buah resort iaitu Langkawi Lagoon Resort, Bukit Merah Laketown Resort, Taiping Golf Resort, Kuala Melaka Inn dan yang terbaharu Ombak Villa by Langkawi Lagoon. Sementara menerusi EMKAY Group pula beliau mempunyai Belum Rainforest Resort dan menerusi syarikat Setia Haruman pula beliau membangunkan Cyberview Lodge Resort & Spa. Menerusi rangkaianhotel dan resort tersebut sehingga kini beliau mempunyai lebih 1000 bilik yang melibatkan pelaburan lebih RM400 juta.
“Pelaburan sebanyak RM400 juta itu satu pelaburan yang besar. Boleh diandaikan kita sebagai pemain industri perhotelan yang serius di dalam arena ini. Saya tidak menekankan kita bersaing, tapi kita komplemen kerana siapa sahaja yang datang ke negara kita ia adalah pendapatan kepada ke negara kita,” jelasnya.
Penglibatan beliau dalam arena pelancongan bukanlah didorong atas faktor mencari keuntungan semata-mata. Malah soal kemanusiaan, pendidikan dan alam semulajadi juga tidak pernah beliau kesampingkan. Pembinaan projek di Bukit Merah Laketown Resort umpamanya, bukan sahaja menekankan kepada soal pembangunan prasarana sahaja, malah pembangunan modal insan dan kelestarian alam semulajadi turut diutamakan. Buktinya, projek kampung angkat Kampung Selamat di pinggir projek Bukit Merah Laketown Resort menjadi kebanggaan beliau dan seluruh warga MK Land apabila ramai penduduk kampung tersebut berjaya mengubah kehidupan kepada yang lebih baik. Begitu juga dengan projek Pulau Orangutan yang menjadi teras kepada usaha memelihara spesies haiwan yang terancam ini.
“Saya mula melabur dalam sektor perhotelan dari tahun 1998 setelah memastikan projek hartanah saya dalam keadaan yang stabil. Projek hotel ini juga adalah satu cara untuk saya membantu anak bangsa saya kerana jumlah pekerja-pekerja yang berada dalam industri perhotelan ini adalah sungguh ramai,” katanya.
Terap Nilai-Nilai Murni Islam
Dalam membina empayar industri perhotelan, beliau tidak pernah lupa pada akar budi bangsa dan agamanya. Ciri-ciri keislaman dan budaya Melayu yang menunjangi kehidupannya sentiasa beliau terapkan dalam projek-projek yang dibangunkannya.
“Ciri-ciri keislaman juga saya bawa di seluruh hotel-hotel saya kerana kita tidak sama sekali membuat secara terus pekara-perkara yang dilarang oleh agama kita. Itulah salah satu keistimewaan untuk hotel-hotel yang saya telah uruskan. Di Langkawi Lagoon umpamanya saya telah membangunkan sebuah bangunan yang dijadikan surau yang dipanggil Surau Hajah Felina. Kemudahan yang disediakan ini tentunya akan memberikan keselesaan untuk pelancong beragama Islam,” jelas beliau.
Hasil daripada pendekatan yang menjurus kepada konsep ‘mesra Muslim’ ini, hotel-hotelnya menjadi pilihan ramai khususnya untuk pasaran Timur Tengah, Arab Saudi dan sebagainya. Ternyata apa yang beliau laksanakan di hotel-hotelnya merupakan salah satu cabang dakwah apabila pelancong Muslim dapat sama-sama menunaikan ibadat solat, berpuasa dan bersolat terawih di bulan Ramadan dalam suasana yang selesa.
“Selain itu di Belum Rainforest Resort saya berjaya menarik penduduk Asli datang berbuka puasa dan terus solat terawih dengan saya. Dan alhamdulillah tahun lepas kita telah menghantar dua orang Asli mengerjakan Umrah di Mekah. Hotel saya ini bukan saja punca pendapatan dunia semta-mata, tetapi punca pendapatan akhirat selain itu dapat menarik orang bukan Islam masuk ke agama Islam. Oleh kerana kita posisi hotel kita kearah keislaman,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal.
Dalam merencanakan pembangunan dalam bidang perhotelan, beliau tidak lupa kepada golongan yang berpendapatan rendah. Justeru beliau turut memastikan bahawa semua golongan dapat menikmati destinasi pelancongan dengan cara yang termampu di hotel-hotel yang diuruskannya.
“Saya juga menekankan soal kemampuan. Bukan semua orang mampu melancong dengan harga yang tinggi. Kami telah membuat persediaan dengan mewujudkan bilik hotel yang mampu disewa. Walaupun kadar harganya berpatutan, kemesraan dan mutu perkhidmatannya adalah sama dengan perkhidmatan yang diberi untuk hotel 4 atau 5 bintang. Hanya harga sahaja yang berbeza. Dengan ini saya dapat menarik bukan sahaja pelancong-pelancong tetapi badan-badan swasta dan kerajaan yang datang bukan sahaja bersantai tetapi mengadakan mesyuarat dan perbincangan dan juga aktiviti-aktiviti kelab,” katanya.
Dari Pemaju Hartanah Kepada Industri Perhotelan
Beliau ternyata lebih selesa dikenali sebagai pemaju hartanah berbanding dengan pengurusan perhotelan. Meskipun projek-projek perhotelan yang dimilikinya berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan, namun dalam nada yang sederhana beliau menyatakan sumbangan beliau dalam sektor pelancongan adalah kecil berbanding sektor hartanah yang telah beliau sertai sejak sekian lama.
“Sebagai pemaju hartanah, daripada tahun 1983, sehingga kini kita telah mencapai GDV sebanyak RM 17 billion. Kalau kita gunakan data ini sebagai contoh, penyertaan saya di dalam industri perhotelan adalah begitu kecil sekali. Saya adalah pemaju hartanah dahulu dan seorang pengurus penghotelan pada masa sekarang. Sehingga kini, saya telah menyiapkan sebanyak 29,648 unit rumah mampu milik menyerupai jumlah sebanyak RM 5.3 billion. (Ini tidak termasuk pembinaan rumah berharga tinggi, sederhana murah dan sederhana, kedai, komersial, bangunan pejabat dan lain-lain). Saya hendak dikenal sebagai usahawan, pengurus hartanah dan pengurus perhotelan iaitu bidang yang saya rasa mempunyai potensi untuk berkembang lagi. Tidak hairan jika mendapat sambutan yang hangat saya akan menambahkan pelabuaran di dalam sektor perhotelan ini. Tetapi setakat ini hotel yang saya ada ini menekankan faktor -faktor untuk menarik pelancong dalam negara dan juga pelancong luar negara,”katanya mengakhiri perbualan.
Prinsip Hidup
“Failure is not an option”
Saya akan berusaha sedaya upaya dan saya akan tawakal serta berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Selama 30 tahun ini, jika anda berusaha dengan ikhlas dengan ada nawaitu yang baik dengan tidak melanggar kehendak agama insha Allah kita akan berjaya.
0 comments:
Post a Comment