BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, 25 March 2014

Dato' Dr. Azlina Che Abdullah



SEJARAH PENGASAS D’NAVECHEE


DATO’ AZLINA BT. HJ. CHE ABDULLAH USAHAWAN BERKALIBER

Dato’ Azlina bt. Hj. Che Abdullah, bukanlah satu nama baru dalam bidang keusahawanan. Malah nama beliau cukup dikenali bukan sahaja sebagai usahawanita yang berjaya tetapi juga pengasas produk kecantikan dan kesihatan yang dipercayai iaitu D’Navechee Beauty (M) Sdn Bhd. Dato Azlina bukan sahaja menerajui syarikat D’Navechee malahan beliau juga menerajui belasan syarikat dalam pelbagai bidang. Selama hampir 10 tahun menceburi bidang perniagaan dan pelbagai kejayaan yang dikecapi hari ini turut meletakkan nama beliau di antara jutawan tanah air.

PENGALAMAN HIDUP

Melihatkan pengorbanan dan kesusahan seorang ibu yang membesarkan anak-anak selepas kematian bapanya membuatkan beliau berazam untuk membantu mengurangkan bebanan ibu tersayang telah mendorong beliau untuk berdikari, sekaligus terpaksa melupakan impian untuk menyambung pengajian dan menjadi peguam. Meskipun cita-cita beliau tidak tercapai, namun beliau pernah mempunyai pengalaman bekerja sebagai Kerani Am di sebuah firma guaman terkenal di Kota Bharu. Setelah 6 tahun bekerja akhirnya beliau nekad untuk meletakkan jawatan bagi memulakan perniagaan. Beliau memulakan langkah pertama dengan membuka kedai batik di Pasar Besar Siti Khadijah dan dari saat itulah minat untuk berniaga mula menguasai jiwa dan raganya. Beliau juga pernah pernah bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran dan berpengalaman sebagai ‘trainer’ dan ‘motivator’ dalam bidang keusahawanan bagi beberapa syarikat bumiputera. Tahun 1996, beliau menimba pengalaman dalam sebuah syarikat jualan langsung dengan bermula sebagai pengedar bebas. Pada tahun itu juga beliau mula dapat merasakan yang perniagaan jualan langsung adalah suatu perniagaan yang mempunyai potensi dan mampu memberi perubahan kepada kehidupan mereka yang mahu memulakan sesuatu yang kecil tetapi akhirnya akan menjadi besar.

SEJARAH PENUBUHAN SYARIKAT UTAMA

Berbekalkan pengalaman sebagai pengedar bebas di beberapa buah syarikat MLM yang lebih mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa memberi keadilan kepada pengedar dan pengguna telah membuatkan beliau sepakat dan nekad bersama suami beliau iaitu Dato’ Stapa untuk menubuhkan syarikat pertama iaitu syarikat jualan langsung yang dikenali sebagai De Classic Life (M) Sdn Bhd atau (DCL) pada tahun 1998.

DCL sebuah syarikat yang berorientasikan sistem MLM tulen yang memberi peluang kepada para pengedar untuk mengubah kehidupan dan alhamdulilallah, syarikat beliau telah berjaya menduduki ‘Top 5’ dalam barisan syarikat jualan langsung dan telah melahirkan ratusan ribu pengedar dan puluhan jutawan.

Beliau turut memiliki belasan syarikat di dalam pelbagai bidang dan memegang jawatan sebagai Pengasas / Pengarah Urusan / Pengarah Kewangan / Pengarah Operasi. Berikut adalah senarai syarikat-syarikat kumpulannya:

1. D’Navechee Beauty (M) Sdn Bhd
2. D’Navechee Global Marketing Sdn Bhd
3. Butik & Spa D’Navechee (M) Sdn Bhd
4. D’Navechee Beauty (S) Pte. Ltd
5. De Classic Life (M) Sdn. Bhd.
6. De Classic Manufacturing (M) Sdn Bhd
7. De Classic Life Global (S) Pte. Ltd.
8. PT De Classic Life Worldwide Indonesia
9. PT De Classic Life Worldwide Thailand
10. PT De Classic Life Indonesia
11. De Eagle Motivation Centre
12. Rangkaian Nasi Dagang Ulik Mayang
13. Gigatronics (M) Sdn Bhd.
14. DAS Travel & Tour Sdn Bhd.
15. DAS Property & Development Sdn Bhd.
16. DAS Publishing Sdn. Bhd.

Melalui syarikat-syarikat ini, Dato’ Azlina Hj. Che Abdullah telah mampu membantu dalam peningkatan ekonomi Negara, dan masyarakat Islam khususnya. Kejayaan beliau dalam melahirkan ratusan ribu usahawan-usahawan daripada berbagai profesion yang mampu berdikari dan mempunyai kebebasan kewangan. Syarikat beliau juga telah banyak membantu ramai orang yang mempunyai masalah kesihatan dan kecantikan, membina rumahtangga yang lebih bahagia, membantu perkembangan minda anak-anak agar lebih cemerlang dan mengurangkan pengangguran.

Kejayaan yang dikecapi oleh Dato Azlina sering menjadi buruan pihak media dan stesen tv yang ingin menjadikan beliau sebagai idola dalam perniagaan bukan sahaja kepada golongan wanita, malahan turut menjadi idola bagi golongan lelaki yang ingin berjaya sperti beliau. Beliau juga diberi kepercayaan oleh syarikat penerbitan terkemuka Kumpulan Karangkraf dalam Sudut Motivasi di dalam majalah MIDI bagi ruangan ‘Bagaimana Mencipta Kejayaan Bersama’ dan majalah Mingguan Wanita bagi ruangan ‘Minda Wanita’. Syarikat penerbitan iaitu Utusan Karya turut memberi kepercayaan kepada beliau untuk menulis di dalam majalah Wanita bagi ruangan ‘Kearah Keusahawanan Berjaya Bersama Dato Azlina’ dan majalah Harmoni bagi ruangan ‘Motivasi Kejayaan & Jati Diri Bersama Dato Azlina’. Ruangan-ruangan tersebut yang menjurus kepada motivasi, tips-tips mencipta kegemilangan dalam perniagaan dan bagaimana mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan ahli perniagaan yang berjaya telah mendapat tindak balas yang membanggakan daripada pembaca yang inginkan maklumat sedemikian. Selain itu juga Dato Azlina sering dipanggil untuk memberikan ceramah / seminar keusahawanan berkisarkan kejayaan beliau yang menjalankan perniagaan tanpa mendapatkan mana-mana pinjaman kewangan.

Meskipun beliau berjaya di dalam perniagannya, beliau tidak pernah lupa kepada insan dan golongan yang memerlukan bantuan. Kerja-kerja amal dan kebajikan terus dilakukan bagi membantu mengurangkan beban golongan yang kurang bernasib baik.




















Monday, 24 March 2014

Tan Sri Mustapha Kamal



PROFIL USAHAWAN

Nama
Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal bin Hj Abu Bakar

Tarikh lahir : 18 Mac 1949

Asal : Kampung Changkat, Pusing, Perak

Pendidikan : Bachelor’s Degree in History, Universiti Malaya

Jawatan 
Pengerusi EMKAY Group
Pengerusi MK Land Holdings Berhad 
Pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd.

Hobi: Muzik, berkebun dan membaca




Aspirasi Pelancongan Tan Sri Datuk (Dr) Hj Mustapha Kamal

Pengalaman lebih 30 tahun dalam mengharungi pahit manis sebagai pemaju hartanah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan. Jiwanya kental, semangatnya tinggi . Bila bercakap soal anak bangsa dan kemanusiaan beliau tangkas bersemangat meskipun pada masa tersebut kondisi kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan.

Begitulah Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal, seorang insan hebat yang ternyata tajam fikirannya dalam merencanakan wawasannya. Meskipun beliau mempunyai aset berbilion ringgit, namun sifat rendah dirinya membuatkan siapa sahaja rasa selesa tatkala berada bersamanya. Menyentuh soal penglibatannya dalam sektor pelancongan, beliau menegaskan bahawa potensi yang ada dalam bidang ini telah memberikan keyakinan kepadanya untuk melabur dalam bidang perhotelan. 

Sebagai pemaju hartanah, antara strategi beliau dalam memastikan kelestarian dan kestabilan projek-projeknya adalah dengan mempelbagaikan perniagaannya khususnya dalam menyertai bidang perhotelan.

“Sebagai peniaga saya menekankan perniagaan utama mengenai harta tanah dan keduanya barulah perhotelan. Saya mengambil perhotelan ini sebagai langkah to diversify kerana saya melihat potensi yang ada dalam bidang perhotelan ini,” katanya. 

Menurutnya, berdasarnya perkembangan putaran perniagaan dunia masa kini, negara-negara seperti China, India, Korea, Jepun dan juga Australia telah menunjukkan kemajuan sekali gus membolehkan masyarakatnya mendapat pendapatan yang tinggi. 

“Dengan peningkatan pendapatan ini , kita menjangkakan mereka mempunyai lebihan pendapatan untuk melancong. Selain itu daripada itu pelancongan di negara kita mempunyai potensi yang besar kerana berbagai-bagai pilihan yang boleh dibuat oleh pelancong luar negara di negara ini. Kita ada laut, kita ada hutan belantara, kita ada tasik, bermacam-macam,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal. 

Beliau turut berkeyakinan pada tahun 2020 negara Malaysia akan mencapai tahap negara maju dengan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dijangkakan menjangkau sebanyak USD15,000. 

“ Masyarakat Malaysia juga mempunyai lebihan pendapatan untuk melancong. Potensi untuk produk-produk di negara kita juga banyak. Negara kita aman dan rakyat kita fasih dalam bahasa Inggeris. Ini semua menjadi faktor tambahan untuk pelancong datang ke negara kita,” tambahnya lagi. 


Usaha Membantu Anak Bangsa



Bagi memastikan penglibatannya dalam sektor pelancongan membuahkan hasil yang membanggakan, menerusi syarikat MK Land Holdings Berhad beliau telah mewujudkan lima buah resort iaitu Langkawi Lagoon Resort, Bukit Merah Laketown Resort, Taiping Golf Resort, Kuala Melaka Inn dan yang terbaharu Ombak Villa by Langkawi Lagoon.  Sementara menerusi EMKAY Group pula beliau mempunyai Belum Rainforest Resort dan menerusi syarikat Setia Haruman pula beliau membangunkan Cyberview Lodge Resort & Spa.  Menerusi rangkaianhotel dan resort tersebut sehingga kini  beliau mempunyai lebih 1000 bilik yang melibatkan pelaburan lebih RM400 juta.



“Pelaburan sebanyak RM400 juta itu satu pelaburan yang besar. Boleh diandaikan  kita sebagai pemain industri perhotelan yang serius di dalam arena ini. Saya tidak menekankan kita bersaing, tapi kita komplemen kerana siapa sahaja yang datang ke negara kita ia adalah pendapatan kepada ke negara kita,” jelasnya.



Penglibatan beliau dalam arena pelancongan bukanlah didorong atas faktor mencari keuntungan semata-mata. Malah soal kemanusiaan, pendidikan dan  alam semulajadi juga tidak pernah beliau kesampingkan. Pembinaan projek di Bukit Merah Laketown Resort umpamanya, bukan sahaja menekankan kepada soal pembangunan prasarana sahaja, malah pembangunan modal insan dan kelestarian alam semulajadi turut diutamakan. Buktinya, projek kampung angkat Kampung Selamat di pinggir projek Bukit Merah Laketown Resort menjadi kebanggaan beliau dan seluruh warga MK Land apabila ramai penduduk kampung tersebut berjaya mengubah kehidupan kepada yang lebih baik. Begitu juga dengan projek Pulau Orangutan yang menjadi teras kepada usaha memelihara spesies haiwan yang terancam ini.
“Saya mula melabur dalam sektor perhotelan  dari tahun 1998 setelah memastikan projek hartanah saya dalam keadaan yang stabil. Projek hotel ini juga  adalah satu cara untuk saya membantu anak bangsa saya kerana jumlah pekerja-pekerja yang berada dalam industri perhotelan ini adalah sungguh ramai,” katanya.


Terap Nilai-Nilai Murni Islam

Dalam membina empayar industri perhotelan, beliau tidak pernah lupa pada akar budi bangsa dan agamanya.  Ciri-ciri keislaman dan budaya Melayu yang menunjangi  kehidupannya sentiasa beliau terapkan dalam projek-projek yang dibangunkannya.


“Ciri-ciri keislaman juga saya bawa di seluruh hotel-hotel saya kerana kita tidak sama sekali membuat secara terus pekara-perkara yang dilarang oleh agama kita. Itulah salah satu keistimewaan untuk hotel-hotel yang saya telah uruskan. Di Langkawi Lagoon umpamanya saya telah membangunkan sebuah bangunan yang dijadikan surau yang dipanggil Surau Hajah Felina.  Kemudahan yang disediakan ini tentunya akan memberikan  keselesaan  untuk pelancong beragama Islam,” jelas beliau. 

Hasil daripada pendekatan yang menjurus kepada konsep ‘mesra Muslim’ ini, hotel-hotelnya menjadi pilihan ramai khususnya untuk pasaran Timur Tengah, Arab Saudi dan sebagainya.  Ternyata apa yang beliau laksanakan di hotel-hotelnya merupakan salah satu cabang dakwah apabila pelancong Muslim dapat sama-sama menunaikan ibadat solat, berpuasa dan bersolat terawih di bulan Ramadan dalam suasana yang selesa.

“Selain itu di Belum Rainforest Resort saya berjaya menarik penduduk Asli datang berbuka puasa dan terus solat terawih dengan saya. Dan alhamdulillah tahun lepas kita telah menghantar dua orang Asli mengerjakan Umrah di Mekah. Hotel saya ini bukan saja punca pendapatan dunia semta-mata, tetapi punca pendapatan akhirat selain itu dapat menarik orang bukan Islam masuk ke agama Islam. Oleh kerana kita posisi hotel kita kearah keislaman,” kata Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal.

Dalam merencanakan pembangunan dalam bidang perhotelan, beliau tidak lupa kepada golongan yang berpendapatan rendah. Justeru  beliau turut memastikan bahawa semua golongan dapat menikmati destinasi pelancongan dengan cara yang termampu di hotel-hotel yang diuruskannya.

“Saya juga menekankan soal kemampuan. Bukan semua orang mampu melancong dengan harga yang tinggi. Kami telah membuat persediaan dengan mewujudkan bilik hotel yang mampu disewa. Walaupun kadar harganya berpatutan, kemesraan dan mutu perkhidmatannya adalah sama dengan perkhidmatan yang diberi untuk hotel  4 atau 5 bintang. Hanya harga sahaja yang berbeza. Dengan ini saya dapat menarik bukan sahaja pelancong-pelancong tetapi badan-badan swasta dan kerajaan yang datang bukan sahaja bersantai tetapi mengadakan mesyuarat dan perbincangan dan juga aktiviti-aktiviti kelab,” katanya.



Dari Pemaju Hartanah Kepada Industri Perhotelan


Beliau ternyata lebih selesa dikenali sebagai pemaju hartanah berbanding dengan pengurusan perhotelan. Meskipun projek-projek perhotelan yang dimilikinya berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan, namun dalam nada yang sederhana beliau menyatakan sumbangan beliau dalam sektor pelancongan adalah kecil  berbanding sektor hartanah yang telah beliau sertai sejak sekian lama.

“Sebagai pemaju hartanah, daripada tahun 1983, sehingga kini kita telah mencapai GDV sebanyak RM 17 billion. Kalau kita gunakan data ini sebagai contoh, penyertaan saya di dalam industri perhotelan adalah begitu kecil sekali.  Saya adalah pemaju hartanah dahulu dan seorang pengurus penghotelan pada masa sekarang. Sehingga kini, saya telah menyiapkan sebanyak 29,648 unit rumah mampu milik menyerupai jumlah sebanyak RM 5.3 billion.  (Ini tidak termasuk pembinaan rumah berharga tinggi, sederhana murah dan sederhana, kedai, komersial, bangunan pejabat dan lain-lain). Saya hendak dikenal sebagai usahawan, pengurus hartanah dan pengurus perhotelan iaitu bidang yang saya rasa mempunyai potensi untuk berkembang lagi. Tidak hairan jika mendapat sambutan yang hangat saya akan menambahkan pelabuaran di dalam sektor perhotelan ini.  Tetapi setakat ini hotel yang saya ada ini menekankan faktor -faktor untuk menarik pelancong dalam negara dan juga pelancong luar negara,”katanya mengakhiri perbualan.

Prinsip Hidup


Failure is not an option


Saya akan berusaha sedaya upaya dan saya akan tawakal serta berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Selama 30 tahun ini, jika anda berusaha dengan ikhlas dengan ada nawaitu yang baik dengan tidak melanggar kehendak agama insha Allah kita akan berjaya.

Tan Sri Tony Fernandes



Strategi Perniagaan Tony Fernandes Membangunkan Air Asia


Strategi perniagaan Air Asia bukan sahaja terbatas pada strategi pemasaran dan poduk semata-mata tetapi ia mencakupi daripada semua aspek termasuk pengurusan perniagaan.

Para Pekerja Adalah Aset Syarikat

Antara strategi perniagaan yang utama ialah pengurusan pasukan kerja yang berkesan. AirAsia menggelarkan pekerja-pekerjanya All Stars kerana bagi Air Asia faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya adalah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerjanya. Walau secanggih mana pun pesawat atau sistem pengkomputeran operasi yang digunakan oleh Air Asia ianya tidak akan bermakna apa-apa jika tiada pekerja yang menggerakkannya. Oleh sebab itu, AirAsia dengan bangganya menyatakan di dalam laman webnya seperti berikut :
“Our people are our GREATEST ASSET. They MAKE all the DIFFERENCES in the world. Our DRIVING FORCE has always been our people. From our humble beginnings to the present family size of 8,000 people, we stand UNITED and SHARE one common culture.”
Bagi melahirkan pasukan kerja yang berkesan, Air Asia bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya malah Air Asia mengambil inisiatif menubuhkan Unit Budaya Korporat yang yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerja.

Kos Bagi Setiap Tempat Duduk Hanya RM0.82

Selain itu, strategi perniagaan yang lain adalah Air Asia memastikan pengurusan kos efektif. Hal ini kerana hanya dengan melalui pengurusan kos yang efektif sahaja yang akan membolehkan Air Asia terus menawarkan harga tambang penerbangan yang rendah pada pelanggan-pelanggannya. Kecekapan pengurusan Air Asia dalam mengawal kos terbukti dengan pengiktirafannya sebagai penerbangan tambang murah yang mempunyai kos terendah di dunia iaitu USD0.24 (RM0.82) untuk setiap tempat duduk. 

Membina Hubungan Dengan Rakyat Malaysia

Seterusnya, salah satu strategi perniagaan AirAsia yang unik ialah membina hubungan dengan rakyat Malaysia. Setiap kejayaannya, kecil atau besar, bukan sahaja diraikan tetapi diwar-warkan sama ada di laman web mereka atau dihebahkan melalui media dan dipaparkan sebagai kejayaan rakyat Malaysia bersama bukannya hanya kejayaan Ai rAsia atau Dato’ Seri Tony Fernandes semata-mata.
Malah di dalam blognya, Dato’ Seri Tony sendiri menyatakan :
‘Sebagai sebuah negara, kita perlu percaya bahawa kita mampu melakukan apa sahaja. Kita mampu menjadi yang terbaik. Anak-anak kita perlu berhenti memandang tinggi kepada ikon dan individu dari negara luar seperti Manchester United, Ferrari dan Steve Jobs. Berhenti menganggap bahawa yang terbaik hanya datang dari luar negara. Kita perlu mula percaya bahawa sebagai rakyat Malaysia kita boleh. Kita boleh bersaing dan menjadi yang terbaik di dunia.’
Bagi mereka, kejayaan ini bukanlah kejayaan peribadi semata tetapi kejayaan yang mesti dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana jenama AirAsia merupakan jenama Malaysia.

Profil Penulis


ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT DATANG

Sebagai pembuka bicara, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kerana saudara dan 
saudari sekalian sudi berkunjung ke blog saya. Sebelum saya bercerita dengan lebih lanjut 
mengenai blog ini, eloklah saya memperkenalkan diri terlebih dahulu. 

Nama : Nur Hidayah Binti Rusli

Tempat Pengajian : Universiti Utara Malaysia (UUM)

Program Pengajian : Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan 


Tujuan blog ini dibangunkan adalah untuk memenuhi tugasan individu bagi subjek Kemahiran dan Gelagat Keusahawanan. Oleh itu, pelajar yang mengambil subjek ini dikehendaki membangunkan sebuah blog mengenai beberapa usahawan berjaya. Saya telah memilih empat orang usahawan yang amat saya kagumi iaitu Datuk Jimmy Choo, Dato' Dr Azlina Che Abdullah, Tan Sri  Tony Fernandes dan Tan Sri Mustapha Kamal untuk dikongsikan di dalam blog ini. Sebab utama saya memilih usahawan-usahawan tersebut adalah kerana terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang mereka perlu tempuhi sebelum mengukir nama sebagai usahawan berjaya. Selain itu, mereka menjadi sumber aspirasi dan pendorong kepada saya untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang. 

Akhir kata, dengan pembangunan blog ini sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan saya mengenai bidang keusahawan. Saya juga berharap perkongsian maklumat di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung. Semoga bertemu lagi di lain pertemuan. 

SEKIAN TERIMA KASIH 



Sunday, 23 March 2014

Datuk Jimmy Choo



PROFIL USAHAWAN

Nama :  Choo Yeang Keat

Tarikh Lahir : 15 November 1952 

Tempat Lahir : Georgetown, Pulau Pinang

Pekerjaan : Pereka Kasut



CABARAN SEPANJANG MENGURUSKAN SYARIKAT


Setiap perniagaan yang dibangunkan pasti mempunyai cabaran dan dugaannya tersendiri. Begitu juga dengan syarikat Datuk Jimmy Choo. Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi oleh Datuk Jimmy Choo sebelum beliau mencipta kejayaan yang gemilang dalam bidang yang diceburinya.

Permulaan kisah beliau bermula apabila Jimmy Choo ingin melajutkan pelajaran ke London selama empat tahun. Selepas menyakini ayahnya, iaitu Kee Yin untuk membiayai yuran untuk tahun pertama beliau belajar di London, beliau pun belajar dengan bersungguh-sungguh. Kursus yang beliau ambil adalah selama empat tahun dan beliau perlu bekerja untuk membiayai kehidupan dan yuran selama tiga tahun. Oleh itu, beliau pun bekerja sambilan sebagai pencuci di sebuah restoran dan kilang kasut untuk membiayai kehidupannya di sana. Selepas tamat pengajian di London, Datuk Jimmy Choo cuba untuk membuka kedai kasutnya dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan di Malaysia. Beliau mengharungi empat tahun yang mendukacitakan kerana jualan kasutnya amat menyedihkan. Namun beliau tidak berputus asa dan terus bertahan. Pada tahun keempat, salah satu rekaan Datuk Jimmy mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot, sehingga pada satu masa dia terpaksa hidup dengan hanya memakan mi segera. Namun, selepas empat tahun berlalu, nasib beliau berubah. Ditakdirkan mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan Jimmy Choo lantas membelinya. Semenjak dari hari itu, Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo. Nama Jimmy Choo terus melonjak dan jualannya menjulang ke langit. Kini, jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia.

Pelbagai cabaran yang dilalui oleh Datuk Jimmy Choo, namun berkat kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan demi mengejar cita-citanya menyebabkan jenama beliau terus gah sehingga sekarang. Terlalu banyak cabaran yang dilalui walaupun amat susah, namun Datuk Jimmy Choo mempunyai semangat yang sangat kuat untuk mengharunginya. Oleh itu, setiap cabaran merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaan.


FAKTOR KEJAYAAN DATUK JIMMY CHOO

Seseorang yang berminat dalam industri kasut boleh memilih untuk menjadi pereka fesyen kasut atau seorang tukang kasut. Sesetengah pereka fesyen kasut tidak tahu cara memotong pola kasut tetapi adalah lebih baik kalau mereka memahami selok-belok teknikal membuat kasut. 

Bagi Jimmy, apa sahaja boleh menjadi inspirasinya kerana dia selalu berfikir; "inspirasi boleh datang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja".

Jika ada yang bertanya mengenai motivasinya dalam bidang ini, jawapannya mudah; "'Minat saya terhadap kasut".

Jimmy mengakui, kerja kuat juga sangat penting untuk berjaya.

"Tahun demi tahun, saya mengalami perubahan. Semuanya kerana kerja keras. Sejak bermula dalam bidang ini, motivasi saya berubah.

"Banyak benda yang saya lakukan menjadi mudah dan saya berjaya mencipta nama secara global. Saya tidak fikir saya sudah berjaya mencapai apa yang dimahukan untuk menjadi yang terbaik. Ini kerana masih banyak perkara yang perlu saya lakukan," katanya.

Jimmy tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik.

"Prinsip ini sangat penting walaupun suatu hari anda menjadi pereka fesyen yang tersohor di dunia, anda masih perlu terus belajar," ujarnya.

Sebagai pereka kasut, kenangan paling manis Jimmy apabila kasutnya diterima dan dipakai di seluruh dunia, bukan sahaja di MalaysiaMenurutnya, kejayaan yang diperoleh hari ini kerana keazaman yang asli.

"Saya seronok dengan pekerjaan saya sekarang kerana dapat berkongsi karya seni saya dengan semua orang. Kepada generasi muda yang ingin berjaya, anda perlu bekerja kuat dan buka minda anda," ujarnya.

Jika terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga, Jimmy pantas menjawab akan memilih berkongsi kasih sayang bersama keluarga. Justeru, tidak hairanlah beliau berusaha membahagikan masa sebaik mungkin.

"Keluarga sangat penting untuk kesejahteraan kita," tegasnya menutup bicara sambil sempat berkongsi rahsia senaman dan diet seimbang untuknya kekal sihat dan sentiasa nampak muda.